Monday, March 26, 2007

Hati-Hati Memilih Perniagaan Yang Diceburi

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Ingin saya kongsikan bersama rakan semua satu artikel yang mungkin berguna buat anda dalam proses memilih perniagaan yang ingin diceburi. Artikel tersebut dipetik dari akhbar Berita Harian, 26 Mac 2007.

Hasil daripada pembacaan artikel ini, saya berharap rakan-rakan semua akan lebih berhati-hati ketika ingin memilih perniagaan yang ingin diceburi. Berfikirlah secara bijaksana sebelum membuat keputusan, agar kita tidak menyesal di masa akan datang. Memang terlalu banyak peluang perniagaan yang ditawarkan di pasaran. Tetapi, titik akhirnya adalah...perniagaan yang mana satu menjadi pilihan anda.

Salam Kejayaan dari saya...

*************************************************************************************

6 firma jualan langsung tipu pengguna disiasat


KPDNHEP terima aduan perniagaan berbentuk skim cepat kaya.

PUTRAJAYA: Enam syarikat jualan langsung tempatan yang mempunyai rangkaian antarabangsa, disiasat kerana dipercayai menyalahgunakan lesen untuk mengendalikan perniagaan berbentuk skim cepat kaya.

Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Pembangunan) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Iskandar Halim Sulaiman (gambar), berkata semua syarikat itu mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit setiap tahun.

Katanya, siasatan awal mendapati dalang kegiatan berkenaan berpangkalan di luar negara dan taktik mereka ialah melantik syarikat tempatan sebagai ejen mengembangkan perniagaan di negara ini.

“Semua syarikat itu dikesan membuat penipuan dengan mengubah pelan pemasaran asal yang mereka kemukakan ketika memohon mendapatkan lesen syarikat jualan langsung kepada operasi berbentuk skim cepat kaya.

“Bagi mengelirukan orang ramai, mereka menggunakan beberapa produk kesihatan, kad diskaun dan barangan elektrik sebagai perantara bagi melindungi penipuan itu,” katanya kepada Berita Harian.

Iskandar Halim berkata, kementerian memulakan siasatan selepas menerima aduan pelabur yang curiga dengan tawaran syarikat itu terutama apabila ia menjanjikan pulangan lebih RM50,000 dengan hanya melabur antara RM30 hingga RM200.

“Kita sedang bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membongkar kegiatan syarikat terbabit dan memastikan ia dihentikan bagi mengelak lebih ramai ditipu,” katanya.

Iskandar Halim berkata, sehingga ini, maklumat yang dikumpul mendapati syarikat yang mempunyai jaringan pada peringkat antarabangsa itu turut dianggotai kakitangan awam dan golongan profesional.

Beliau berkata, selain mengembangkan operasi menerusi sesi taklimat dan suai kenal untuk menambah keahlian, syarikat terbabit juga menawarkan pelbagai habuan menarik, sama ada wang tunai atau barangan mewah menerusi internet.

Katanya, operasi perniagaan berteraskan internet itu dibuat bagi mengelak ia dikesan pihak berkuasa dan pada masa sama membolehkan skim berkenaan berkembang lebih pesat tanpa kawalan pihak berkuasa.

“Struktur organisasi syarikat yang lengkap, selain pelan pemasaran yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat membolehkan syarikat itu mempengaruhi orang ramai dengan lebih mudah.

“Bagaimanapun, beberapa saksi yang disiasat memberitahu hanya lapisan pelabur awal skim berkenaan yang mengaut keuntungan berganda, manakala yang yang terkemudian menyertainya berdepan risiko menanggung rugi,” katanya.

Iskandar Halim berkata, bagi memastikan rantaian skim itu tidak tergendala, sesetengah pengendali skim cepat kaya terbabit menjanjikan pulangan separuh daripada kadar asal kepada pelabur yang tidak dapat menaja ‘downline’.

Beliau bagaimanapun enggan memberikan nama enam syarikat yang disiasat itu bagi mengelak ia menjejaskan siasatan dan menyebabkan dalang skim cepat kaya berkenaan menghilangkan diri.

Sementara itu katanya, kementerian juga sedang memantau operasi beberapa syarikat yang menyalahgunakan lesen jualan langsung mereka untuk menipu dengan menganjurkan peraduan gores dan menang bagi mengaut keuntungan mudah dengan menawarkan hadiah cabutan bertuah yang tidak wujud.

Sebelum ini, kerajaan mengeluarkan amaran bahawa beberapa skim pelaburan yang dikendalikan menerusi internet, khususnya yang berpangkalan di luar negara, beroperasi secara haram dan menjurus kepada penipuan.

INFO
Taktik penipuan

  • Mengubah pelan pemasaran asal ketika memohon mendapatkan lesen syarikat jualan langsung kepada operasi berbentuk skim cepat kaya.

  • Mengelirukan orang ramai dengan menggunakan beberapa produk kesihatan, kad diskaun dan barangan elektrik.

  • Menjanjikan pulangan lebih RM50,000 dengan hanya melabur antara RM30 hingga RM200.

  • Syarikat mempunyai jaringan antarabangsa.

  • Operasi perniagaan dibuat menerusi internet bagi mengelak ia dikesan pihak berkuasa.

  • Menawarkan pelbagai habuan menarik untuk menarik keahlian.

  • Sumber: Berita Harian

    *************************************************************************************

    Monday, March 12, 2007

    Perniagaan & Pembelian Melalui Internet

    Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,


    Aktiviti perniagaan secara online mahupun transaksi pembelian melalui internet kian mendapat tempat khususnya di kalangan rakyat Malaysia. Ledakan kemajuan teknologi maklumat yang berterusan memberi peluang kepada kita mengaplikasikan pelbagai kemudahan teknologi maklumat untuk menjalankan aktiviti harian dengan cepat, pantas dan efisyen.


    Jika dahulu, kita perlu ke bank atau pejabat pos untuk urusan pemindahan wang dan pembayaran bil, tetapi senario kini telah berubah. Kesemua urusan tersebut dapat dilakukan dihujung jari anda. Hanya dengan satu klik, anda mampu menyempurnakan urusan berkenaan. Mudah, bukan?


    Begitu juga dengan corak perniagaan dan pembelian pada masa kini. Kemunculan pelbagai jenis perniagaan yang dijalankan secara online menerusi internet mendapat sambutan yang hebat daripada sebilangan besar masyarakat Malaysia. Pendedahan terhadap kemajuan teknologi maklumat, di samping kemudahan internet di pejabat, rumah dan café internet menggalakkan urusan perniagaan secara online. Di tambah pula dengan kesibukan bekerja, ramai yang memilih untuk membeli produk secara online, tanpa perlu keluar rumah, bayar duit minyak, tol, parking kereta, etc. Jimat masa dan tenaga.


    Walau bagaimana pun, tidak semua barang dapat dibeli secara online. Ada sesetengah produk seperti baju, kadangkala sukar untuk dibeli secara online. Ini kerana sesetengah pelanggan lebih suka mencuba sendiri baju berkenaan dan merasa / menyentuh sendiri “material” yang digunakan untuk membuat baju berkenaan.


    Tetapi, barangan seperti buku, yang kini banyak dijadikan E-Book, perisian computer, CD lagu, VCD / DVD movie, boleh dibeli secara online melalui internet. Saya lihat ramai juga yang telah membina website sendiri yang berfungsi sebagai e-kedai, di mana pelanggan boleh memilih barangan yang hendak dibeli menerusi laman web dan bayaran pula melalui perbankan internet. Yang lebih menariknya, ramai pula yang membeli.


    Menerusi pengalaman saya sendiri membeli beberapa e-book, peralatan dapur dan makanan kesihatan secara online, saya dapati urusan pembelian secara online ini amat mudah. Dapat kurangkan “window-shopping” di kompleks membeli belah. Sekarang saya lebih suka window-shopping di internet. Kita boleh gunakan maklumat yang didapati di internet untuk buat perbandingan harga barangan did internet dan di luar. Jika lebih murah atau sama harga di internet, baik beli secara online sahaja. Jimat belanja.


    Kepada yang belum mencuba, Selamat Mencuba…dan kalau ada pengalaman yang hendak dikongsi bersama, let's share it. Boleh dijadikan panduan bersama...