Sunday, January 21, 2007

Perniagaan Melalui Internet: Kaedah Alternatif Untuk Meningkatkan Ekonomi

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Sebentar tadi, saya baru membaca satu artikel yang saya fikir amat berguna buat kita semua. Artikel yang ditulis oleh Mohd Noor Omar, seorang pegawai penyelidik ini dikirim oleh seorang rakan, yang juga seorang “internet entrepreneur” yang berjaya. Ucapan terima kasih saya kepada beliau kerana sudi berkongsi ilmu dengan saya yang amat berminat untuk menggunakan internet sebagai medium mencari pendapatan sampingan.

Antara perkara penting yang diutarakan di dalam artikel tersebut adalah kepentingan laman web perniagaan.

Menurut Mohd Noor:

Mempunyai satu laman web perniagaan seolah-olah menguasai sebuah gedung pasaran luas atau hypermarket yang boleh menembusi pasaran global. Internet adalah pasaran di mana seseorang boleh menjalankan perniagaan ke seluruh pelusuk dunia, tanpa halangan politik, masa, sempadan, bangsa dan jantina. Seseorang peniaga hanya perlu membangunkan laman webnya, mempromosikan barangan dan membuat transaksi secara online.

Seiring dengan perkembangan teknologi, sebagai usahawan, kita perlu menguasai pasaran dunia dengan mempunyai kemahiran memasarkan melalui internet.
Mohd Noor berkata:

Sebenarnya berniaga melalui internet tidak sepayah yang disangkakan, malah mempunyai nilai tambah berlipat kali ganda dalam mempromosikan, memasarkan dan melakukan transaksi. Berbeza dengan kaedah berniaga secara biasa, peniaga maya tidak perlu mempunyai modal yang banyak, gudang besar, kakitangan yang ramai, peralatan dan sebagainya. Namun, kelebihan ini masih dirasai asing kerana tiada pengetahuan, sikap negatif yang ada dalam diri kita dan kurangnya budaya meniaga. Apabila disebut sahaja berniaga menggunakan internet, masing-masing merasa janggal dan takut. Beribu persoalan timbul dalam fikiran tetapi malangnya tidak diikuti dengan usaha untuk mencari jawapan tersebut.

Melalui artikel ini, kita dapat simpulkan kepentingan laman web pemasaran dalam mempromosikan sesuatu perniagaan. Tidak kiralah sebaik mana pun sesuatu produk ataupun perkhidmatan, tanpa promosi yang sewajarnya, agak sukar itu menembusi pasaran yang luas.

Tanpa mengetepikan pemasaran offline, pemasaran online perlu dibangunkan seiring dengan pemasaran offline demi melebarkan sayap perniagaan anda.